Wednesday 30 March 2011

BAHAGIAN 3.3: Sambungan Sejarah Batu Pahat. Cecite-cecite...




Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan pembaca. Dah lama rasanya saya tidak “update “ blog saya ni. Baik lah hari ni saya nak sambung lagi cerita mengenai sejarah Batu Pahat. Entri yang lepas saya telah menceritakan serba sedikit pembukaan Daerah Batu Pahat. Hari ni kita akan sambung mengenai kokasi atau kedudukannya. Kedudukan tempat yang hendak dijadikan Bandar adalah kira-kira 15 kilometer dari kuala sungai Batu Pahat, sebelah kanan tebing mudik sungai. Dato' Bentara Luar memilih kawasan ini kerana senang dan boleh   merapatkan kapal-kapal besar yang dianggarkan dapat masuk ke sungai dengan membina sebuah dermaga bagi kemudahan perdagangan laut. Sungguhpun kawasan yang hendak dijadikan Bandar rendah, sering ditenggelami air masin sewaktu air pasang besar dari laut, kira-kira 2 kilometer ke darat tanahnya tinggi berbukit dan subur bagi tanam-tanaman.
Dato' Bentara Luar membuat rumah kediamannya di Kampung Penggaram bertentangan dengan Tasek Kadri untuk membuat kerja membuka Bandar.
Pada 2hb. Disember 1893, fakir menjalankan kerja menjalankan pekerjaan ukur-mengukur dari jalan kebun kopi ke Gunung Penggaram sampai ke Sungai Penggaram. Di tepi Sungai Penggaram itu fakir jadikan sebuah rumah atap tempat duduk fakir. Fakir jalankan pekerjaan membuat jalan dalam itu. Fakir mulakan menjalankan membuat rumah, pejabat, polis, mahkamah, dan tambak menambak batu di jalan.
Kerja mengukur, merancang dan membangunkan pusat Bandar pentadbiran daerah telah berjalan lancar dengan bantuan kuat dua orang penghulu itu termasuk perbelanjaan yang dipungut dari orang tempatan dan juga bantuan kewangan dari Orang Kaya Bagan serta kewangan Dato' Bentara Luar sendiri.
Pembukaan rasminya telah dilakukan pada 1hb. Januari 1894 oleh Dato' Muhamad Salleh bin Perang sendiri yang dihadiri oleh Orang-orang Kaya, Penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Kemuncak majlis perasmian itu ialah istiadat menaikkan bendera negeri Johor di Bukit Penggaram yang sekarang menjadi tapak dan kawasan rumah kediaman Pegawai Daerah dan seterusnya bukit itu disebut orang Bukit Bendera hingga hari ini. Seterusnya selepas itu pegawai-pegawai tadbir pun disusun dan pejabat-pejabat kerajaan seperti mahkamah, polis, penjara, rumah sakit, dan lain-lain juga diwujudkan satu demi satu. Perkembangannya berjalan dengan baik dan lancar dan dalam masa sebulan sahaja jumlah hasil kutipan telah mencapai $ 1,500.00.

p/s: alamak sejarah batu Pahat banyak lagi lah, kita sambung pada post yang akan datang. Nantikan.. hehe

Friday 25 March 2011

BAHAGIAN 3.2: Sambungan Sejarah Batu Pahat. Cecite-cecite...


Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan pembaca. Hari ni saya nak sambung cerita mengenai sejarah Batu Pahat. Entri yang lepas saya telah menceritakan serba sedikit pengenalan Daerah Batu Pahat. Beberapa percubaan untuk membina penempatan menemui kegagalan. Walaupun begitu, pembukaan petempatan-petempatan baru masih juga diteruskan. Pada tahun 1889 Orang Kaya Sidek bin Ismail telah membuka satu petempatan di seberang Kampung Minyak Beku yang berdekatan dengan Kampung Jakun dan kawasan ini dinamakan Benut Selamat. Tetapi tidak lama kemudian nama ini telah bertukar kepada Bagan. Ramai orang-orang yang tertarik ke tempat itu termasuk juga orang yang datang dari Pulau Jawa, Madura dan lain-lain pulau. Orang-orang Jawa yang diketuai oleh Haji Ibrahim telah membuka kebun-kebun kelapa dan kopi. Di antara orang-orang yang terkenal di kampung itu ialah seperti Pawang Abu, Haji Arshad (Orang Melaka) dan Mohamed Tab (Orang Muar).
Jadi sehinggalah pada tahun 1893, barulah Dato' Bentara Luar iaitu Dato' Muhamad Salleh bin Perang berjaya memulakan usaha bagi membangunkan bandar Batu Pahat di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari kuala Sungai Batu Pahat.
Kemajuan Bandar Maharani yang telah dibuka pada tahun 1884, mencabar keupayaan penghulu-penghulu Batu Pahat bagi membuka sebuah Bandar. Tambahan pula memandangkan kemajuan yang pesat di kawasan sekitarnya seperti Serum, Bertam, Tebing Tinggi, Kampung Sejagong, Langkap, Chaah, dan lain-lain lagi, maka satu perjumpaan telah diadakan di Kuala Simpang, terdiri daripada orang-orang kaya, penghulu-penghulu, Menteri Penghulu dan Jenang-jenang (gelaran bagi ketua orang asli) yang dipengerusikan oleh Encik Abdul Hamid bin Ahmad Ketua Pengaman Batu Pahat. Keputusan mesyuarat tersebut telah melantik Penghulu Rahmat bin Ragam (Penghulu Simpang Kanan) dan Penghulu Kitam bin Mohd. Shah (Penghulu Simpang Kiri) mengadap Sultan Abu Bakar memohon Dato' Muhamad Salleh bin Perang membuka satu bandar untuk Batu Pahat. Mereka berkeyakinan Dato' Bentara Luar akan berjaya membuka sebuah lagi Bandar kali ini di Batu Pahat.
Pada 4hb. November 1893, Dato' Muhamad Salleh yang pada masa itu diam di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru. Pada 11hb. November 1893, Sultan Abu Bakar telah bertitah kepada beliau :
"Aku disusahkan oleh dua Penghulu Rahmat dan Kitam. Dua tiga kali berjumpa dengan aku minta engkau membuka Batu Pahat. Aku jawab dengan Rahmat dan Kitam, jangan engkau semuanya sumpah dan tidak ikut apa-apa perintah dia kelak. Dia jawab pada aku, tidak sekali-kali. Aku fikir bolehlah engkau buka Batu Pahat itu, mana-mana tempat anggaran engkau hendak jadikan Bandar..."
p/s: Alamak sejarah Batu Pahat panjang lagi lah, kita sambung pada post yang akan datang, tunggu ya.

Wednesday 23 March 2011

BAHAGIAN 3.1: Pengenalan Sejarah Batu Pahat. Cecite-cecite....

Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan pembaca. Hari ni saya nak cerita serba sedikit mengenai sejarah Batu Pahat. Saya mulakan dengan sesi pengenalan.




Pada zaman dahulu, Batu Pahat dikenali sebagai Pulau Kundur dan Sungai Batu Pahat juga dikenali sebagai Sungai Kundur. Ianya merupakan petempatan-petempatan kecil yang berasingan yang dibuka oleh orang-orang kenamaan dan orang-orang besar seperti penghulu dan ketua-ketua kampung. Sebagai contoh, semasa pemerintahan Sultan Hussin di Singapura dan Johor, dua orang ketua dari orang-orang Melayu Daik, dan seorang lagi dari Simpang Kiri bernama Rapang dari keturunan Orang Besar Pahang telah menghadap Sultan Hussin. Mereka berdua telah diberi taraf penghulu oleh Sultan Hussin di tempat masing-masing pada tahun 1834.
Berikutan dengan pembukaan petempatan-petempatan kecil ini, maka kawasan Batu Pahat ini telah bertambah maju dan meluas. Maka pada tahun 1885 beberapa orang keturunan Inggeris iaitu nama-namanya Stiple, Jackson, dan Watt telah membuka sebuah ladang kopi di kaki Bukit Penggaram, iaitu berhampiran dengan Pengkalan Jeram. Pemborong yang telah mengerjakan ladang itu ialah seorang Cina bernama Lim Soo Poon telah menjadi seorang kaya (taukeh) dan ia telah dapat membuat empat pintu rumah batu berdekatan dengan Sungai Batu Pahat.
Usaha-usaha untuk membuka bandar Batu Pahat semakin giat dijalankan pada tahun 1888 oleh Dato' Yahya bin Awaluddin yang juga dikenali sebagai Dato' Yahya Tinggi di suatu kawasan Bukit Senangin, Kampung Tambak, tebing kanan Sungai Batu Pahat. Tetapi usaha beliau menemui kegagalan kerana faktor geografi dan ekonomi yang tidak sesuai. Malah menurut kepercayaan orang tua yang ada, di kawasan itu tidak boleh dijadikan bandar kerana akhirnya akan dimasuki "angin". Akhirnya tempat itu ditinggalkan begitu sahaja. Pada tahun yang sama juga, seorang lagi pembesar yang bergelar Dato' Yahya Rendah cuba membuka bandar di kawasan Senangar tetapi gagal juga kerana orang-orang tua pada masa itu menyatakan "nanti mulut ternganga".

p/s: sejarah Batu Pahat akan disambung pada post yang akan datang.. tunggu ya.

Tuesday 22 March 2011

BAHAGIAN 2: Asal Usul Terhasilnya Nama-Nama Daerah Di Negeri Johor. Cecite-Cecite...

Assalamualaikum kepada semua shabat-sahabat sekalian. Hari ini Saya ingin memberi tahu secara ringkas bagaimana nama daerah-daerah di negeri Johor. semoga perkongsian saya ini dapat menaikkan lagi nama Johor sebagai negeri yang paling selatan.

Secara kebiasaannya, asal usul nama sesebuah tempat itu diambil dari kepercayaan mereka,keadaan semula jadi, nama binatang dan sebagainya. Suatu hal yang menarik ialah perubahan yang berlaku kepada sebutan nama sesuatu tempat itu. Ada kalanya ia merupakan singkatan kata, pengubahan bunyi atau kepilatan sebutan.

Batu Pahat





Nama Batu Pahat dikatakan dari peristiwa memahat batu untuk mendapat bekalan air tawar di pantai Minyak Beku yang terletak di Kuala Sungai Batu, Batu Pahat. Kerja ini dilakukan oleh angkatan tentera Siam (Orang-orang Muslim Pattani Siam ) di bawah pimpinan Awi Dicu dalam abad ke-15 sewaktu hendak menyerang Melaka. Kesan pahatan tersebut masih terdapat hingga sekarang. Kesan ini dikenali sebagai Perigi Siam atau Perigi Batu Pahat. Pusat bandar bagi daerah Batu Pahat ialah Bandar Penggaram. Nama Penggaram itu dikatakan berasal daripada ‘pangkal jeram’, kerana terdapat jeram di sebuah sungai kecil yang mengalir dari bukit belakang bandar tersebut.



Muar


Muar lahir daripada perkataan ‘muara’ iaitu kuala sungai. Ini disebabkan oleh penempatan awal di kawasan tersebut terletak di muara Sungai Muar. Sungai Muar terkenal sejak zaman silam kerana sungainya yang lebar membolehkan para pelayar berlindung di musim gelora. Pelarian Raja Iskandar Syah (Parameswara) dari Singapura setelah dialahkan Majapahit pada awal abad ke-15 menggunakan sungai ini. Demikian pula apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, raja dan para pembesar Melaka melarikan diri melalui Sungai Muar.

Versi lain mengenai kewujudan nama tersebut ialah daripada perkataan ‘muak’ (jemu dan ‘mu-aru’ (Bahasa Tamil) bermaksud tiga sungai.

Bandar Maharani yang menjadi pusat bandar utama daerah Muar mendapat nama sempena nama Permaisuri Maharaja Abu Bakar pada 12 Ogos 1887. Oleh kerana pada masa itu Sultan Abu Bakar masih memakai gelaran Maharaja, permaisuri baginda memakai gelaran Maharani. Bandar itu dinamakan atas nama permaisuri yang megiringi Baginda dalam upacara perasmian bandar itu, Maharani Fatimah.



Mersing





Mersing mendapat nama daripada peristiwa penahanan buang daerah seorang pesuruh Sultan Pahang berbangsa Sikh, kerana melakukan kesalahan yang berat. Penahanan ini berlaku sewaktu Mersing belum ramai penduduk. Pekerja tersebut bernama Amer Singh, dan namanya menjadi terkenal di kawasan tersebut hingga menyebabkan tempat itu dikenali dengan nama Mersing.

Cerita lain yang membawa munculnya nama Mersing ialah dari peristiwa seorang dara bernama Mersing mencintai teruna perantau dari Pahang bernama Awang. Oleh kerana Mersing diminati oleh anak penghulu, bapa Mersing memilih anak Penghulu bakal menantunya.

Untuk memisahkan di antara Mersing dengan Awang, timbullah fitnah. Tetapi Awang berjaya membuktikan kesuciannya dengan menghapuskan fitnah tersebut. Akhirnya bapa Mersing bersetuju menerima Awang menjadi suami anaknya. Namun Awang tetap keras hati lalu meninggalkan keluarga Mersing dan penduduk di situ dalam keadaan menyesal. Dari nama dari itu lahirnya nama Mersing dan didendangkan kisahnya dalam lagu Seri Mersing.



Segamat






Nama Segamat berasal dari ungkapan kata ‘segera amat’ atau ‘segar amat’. Kata-kata itu lahir dari mulut Bendahara Tepok dalam pelariannya ke hulu Sungai Muar setelah Melaka ditawan Portugis. Bendahara Tepok yang mengalami penyakit lumpuh terpaksa diusung ke perahu. Ketika sampai ke Lubuk Batu, menurut beliau, segera amat sampainya angkatan pengiring-pengiringnya ke tempat yang selamat, jauh dari ancaman Portugis. Oleh kerana pada hari itu cuaca agak panas, Bendaraha Tepok pun mandilah di situ. Kata Bendahara Tepok setelah mandi, “Segar amat rasa badan ini” kata-kata Bendahara Tepok ini menjadi sebutan ramai pengikutnya hingga kemudiannya menamakan petempatan yang mereka duduki dengan nama Segamat.



Pontian





Perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’. Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar, tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya, sementara Pontian Kecil menjadi Bandar utama bagi daerah Pontian.



Kota Tinggi





Kota Tinggi mengambil nama daripada kota yang dibina di atas kawasan tinggi di tebing Sungai Johor. Pembinaan kota tersebut untuk menangkis serangan Portugis yang berusaha hendak melenyapkan kuasa Kesultanan Melayu yang telah dialahkannya di Melaka pada tahun 1511.

Oleh Kerana Sungai Johor adalah kawasan yang selamat untuk berteduh dari gelora Laut Cina Selatan , ia telah menjadi tumpuan para pedagang sejak zaman silam lagi. Zaman Ptolemy kawasan tersebut dikenali dengan nama Palanda. Banyak tinggalan lama seperti manik dan permata dari zaman Han (SM200 - TM20) dan zaman Empayar Rom pernah ditemui di Kota Tinggi.



Tangkak




Nama Tangkak timbul daripada ‘tang merangkak’. ‘tang’ berasal dari perkataan tentang yakni tempat. Peristiwa itu berlaku ketika peneroka kawasan Tangkak, Long Mahmud tujuh bersaudara terpaksa merangkak naik ke tebing Sungai Tangkak menuju ke Bukit Tambak di kawasan Seri Makmur. Tebing-tebing sungai di kawasan Tangkak adalah lembut dan jerlus kerana paya ditumbuhi pokok-pokok resam, sendayan, pakis dan rembia.



Kluang




Bandar Kluang mengambil nama Keluang Kampung. Keluang sejenis kelawar besar pemakan buah. Ia memakan bunga durian dan buah-buahan seperti rambutan, rambai dan lain-lain. Penduduk kampung tersebut berjaya membunuh tupai yang datang ke dusun mereka, tetapi gagal menakutkan keluang yang begitu banyak setiap petang datang ke situ. Keluang yang banyak itu dikatakan datang dari sebuah bukit di belakang kampung mereka (bukit yang dimaksudkan mungkin Gunung Lambak). Akhirnya seorang pawang terpaksa mengadakan suatu upacara di bukit tersebut untuk memujuk keluang-keluang itu agar tidak datang ke dusun penduduk kampung tersebut.

Begitulah serba sedikit penerangan mengenai asal usul nama di Negeri Johor. Saya harap jika ada silap atau salah bolehlah comment. Semoga saya boleh perbetulkan pada masa akan datang.

p/s: Ingin mengetahui sejarah Batu Pahat?? Nantikan post yang akan datang.

BAHAGIAN 1: Sejarah Johor... Cecite-Cecite..

Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan pembaca. Hari ni saya nak cerita serba sedikit mengenai asal usul nama Negeri Johor. Maklumat ini saya dapat daripada Portal Rasmi Kerajaan Negeri Johor.  Berikut merupakan cerita serba sedikit mengenai asal usul negeri Johor.

Asal usul perkataan Johor diambil dari perkataan Arab “Jauhar” yang bermaksud “Permata Berharga”. Pengaruh Arab jelas kelihatan di mana para pedagang dari Arab telah datang ke sini bagi menjalankan perniagaan rempah yang sememangnya terkenal pada suatu ketika dahulu. Johor juga dikenali sebagai Hujung Tanah atau “Gangganu” oleh orang-orang Siam yang bermaksud “Batu Permata”.

Pembukaan negeri Johor bermula pada awal kurun ke-16 apabila Melaka telah ditawan oleh Portugis. Sultan Mahmud Syah yang merupakan pewaris terakhir takhta kerajaan Melaka telah melarikan diri dan membuka kerajaan Johor. Pada waktu itu, Johor telah meluaskan empayarnya sehingga ke Riau.

Sejarah Johor moden bermula di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar. Baginda telah ditabalkan menjadi sultan pada tahun 1866 seterusnya memegang gelaran “Seri Maharaja Johor”. Sultan Abu Bakar telah memperkenalkan Perlembagaan Johor seterusnya membawa perubahan dalam pentadbiran negeri Johor yang lebih efisyen. Perpindahan pusat pentadbiran kerajaan Johor di Teluk Belanga ke Tanjung Puteri pada tahun 1841 memberi kesan yang positif kepada Johor terutamanya dari segi pembangunan. Pembinaan bangunan kerajaan, balai polis, masjid, mahkamah dan istana besar jelas membuktikan Sultan Abu Bakar berhak menerima gelaran sebagai “Bapa Pembangunan Johor”.

Bergitulah serba sedikit cerita mengenai nama Negeri Johor diperoleh. Kalau anda semua mahu mengetahui dengan lebih lanjut mengenai asal usul Negeri Johor, bolehlah melawat terus ke Portal Rasmi Kerajaan Negeri Johor tersebut. Sekian dari saya.(Kalau ada salah boleh lah tegur saya dengan memberi comment.


p/s: Cerita mengenai bagaimana nama-nama daerah dalam negeri johor diperoleh akan di beritahu ke post yang akan datang.

Pendatang Baru dalam Dunia Blogger

Kita mulakan cerita dengan Bismillahirrahmanirahim... Assalamualaikum kawan-kawan.. Saya pendatang baru dalam dunia Blogger ni.. Jadi saya harap Kawan-kawan Blogger yang lain dapat lah membantu saya.. Semoga kita dapat menaikkan nama Blogger malaysia bersama-sama.. Insyaallah..